1. Skip to Menu
  2. Skip to Content
  3. Skip to Footer

 

 

 

 

Institut Kemahiran MARA Kuala Lumpur ditubuhkan dan beroperasi pada awal tahun 1974.Keluasan institusi ini adalah 4.5 ekar dan mempunyai mempunyai 4 blok bangunan (blok X, blok Y, blok Z dan sebuah blok asrama).Sepanjang tempoh dari tahun 1974 sehingga tahun 2017 seramai 17 orang Pengetua/Pengarah yang telah berkhidmat di IKM Kuala Lumpur termasuk Tuan Haji Noor Zainee Shah iaitu Pengarah IKM Kuala Lumpur yang terkini.

Sejarah Awal IKM & KKTM

IKM & KKTM diwujudkan dengan tujuan untuk melahirkan belia Bumiputera yang berkemahiran dalam pelbagai bidang teknikal dan Kemahiran bagi melayakkan mereka berkhidmat dalam sektor perdagangan, perusahaan dan perindustrian disamping mewujudkan bakal-bakal usahawan. Perlaksanaan latihan dijalankan dengan cara mengadakan kursus di dalam pelbagai bidang yang dijalankan di IKM / KKTM di Seluruh negara. IKM yang pertama ditubuhkan adalah pada tahun 1968 iaitu IKM Melaka yang pada masa itu ditempatkan di Jalan Hang Tuah,Melaka. Pada awalnya IKM diwujudkan dengan objektif berorientasikan social iaitu untuk membanteras masalah keciciran di dalam bidang pendidikan di kalangan remaja dan belia bumiputera terutamanya di kawasan luar bandar. Apabila negara mula mempelbagaikan sistem ekonominya dari bidang pertanian ke bidang perusahaan dan perindustrian, keperluan pekerja separuh mahir untuk bekerja di kilang-kilang yang ditubuhkan mula ketara.

Mulai tahun 70an, bidang-bidang kemahiran telah diperbanyakkan dan jumlah IKM telah ditambah. IKM memberi peluang kepada remaja dan belia yang tidak berpeluang melanjutkan pendidikan, mendapatkan kelulusan dan kemahiran untuk melayakkan mereka untuk berkhidmat dengan syarikat-syarikat swasta daripada asalnya dikenali sebagai "sekolah tukang" iaitu pusat latihan yang melahirkan tukang yang mahir dalam sesuatu bidang. Kini IKM telah berkembang mengikut peredaran zaman. Selaras dengan perkembangan di dalam dunia pendidikan yang diterajui oleh perkembangan ekonomi berasaskan teknologi, negara memerlukan lebih ramai pekerja berpengetahuan atau "knowledge workers". Di samping itu perkembangan teknologi juga menyebabkan syarikat-syarikat pembuatan dan perindustrian yang memberi sumbangan besar terhadap mengadakan peluang-peluang pekerjaan, mengubah keperluan sumber manusia mereka daripada "tukang pasang" atau "assembly workers" kepada pekerja berkemahiran tinggi atau “highly-skilled workers”. Sehubungan dengan itu, aliran kemahiran menjadi penting di dalam program pembangunan sumber manusia dan secara langsung merupakan satu laluan yang selari dengan aliran akademik dan ini membolehkan lepasan sekolah menengah membuat pilihan tentang haluan dan bidang kerjaya yang hendak mereka ceburi. Hakikat inilah yang menjadi asas utama di dalam pembangunan IKM.

Sehingga awal tahun 90an, kesemua kursus latihan kemahiran dijalankan di peringkat sijil bagi belia bumiputera dalam peringkat umur 16-40 tahun. Antara latihan kemahiran yang diadakan adalah dalam bidang seperti Kejuruteraan Automotif, Kejuruteraan Awam, Kejuruteraan Elektrik, Kejuruteraan Elektronik, Kejuruteraan Mekanikal, Senibina dan Juga Seni dan Rekabentuk. Kursus di tahap Diploma pula mula dijalankan pada tahun 1995 apabila IKM Petaling Jaya menjalankan sepenuhnya program Higher National Diploma dalam bidang Elektronik dan diploma ini ditauliahkan oleh Edexcel International of United Kingdom. Ini kemudiannya diikuti oleh program diploma di dalam bidang Teknologi Kejuruteraan Automotif, Bangunan, Elektrik, Elektronik dan Mekanikal secara usahasama dengan Universiti Teknologi Malaysia (UTM). Manakala program diploma dalam bidang Teknologi Pembuatan dan Membuat Acuan dilaksanakan dengan kerjasama German Malaysia Institute (GMI).

Peningkatan tahap kursus memerlukan tenaga pengajar dan pengurusan yang mempunyai kelulusan dan kelayakan yang lebih tinggi. Di samping kemudahan dan alatan latihan yang lebih canggih yang mencerminkan teknologi yang sebenarnya digunakan dalam pasaran serta industri. Ini mencetuskan IKM dinaiktaraf menjadi Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM) bagi pusat-pusat yang menjalankan program diploma iaitu di KKTM Pasir Mas, KKTM Petaling Jaya dan KKTM Balik Pulau. Dengan ini, KKTM bukan sahaja merupakan salah satu aliran pilihan malah secara langsung bagi pelajar-pelajar yang tamat SPM atau SPM(V). Tetapi juga memberi peluang pelatih lepasan IKM melanjutkan pelajaran mereka di peringkat diploma.